SEJARAH SEKOLAH

SEJARAH SEKOLAH


Untuk memenuhi kehendak pendidikan negara, khususnya pendidikan di negeri Terengganu maka pada tahun 1961 sebuah sekolah telah diwujudkan oleh Kementerian Pelajaran  Malaysia di negeri ini. Sekolah ini diberi nama Sekolah Menengah Padang Midin. Sekolah Menengah Padang Midin merupakan Sekolah Menengah Aliran Melayu yang pertama dibina di Negeri Terengganu. Sekolah Menengah Padang Midin memulakan sidang pengajaran dan pembelajaran pada tahun 1961 tetapi pada tahun ini sekolah ini tidak mempunyai bangunan sendiri. Murid-muridnya terpaksa menumpang di bangunan Sekolah Menengah Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu. Keadaan ini tidak berlanjutan kerana pada Oktober 1964 Sekolah Menengah Padang Midin mula beroperasi di bangunannya sendiri di atas sebidang tanah seluas 7.106 hektar (17.6 ekar). En. Nordin bin Nasir dipertanggungjawabkan sebagai pengetua pertama.

Bangunan yang dibina pada peringkat permulaan ini ialah dua buah bangunan dua tingkat, sebuah pejabat dan dua buah makmal dan sebuah dewan sekolah. Ketika ini Sekolah Menengah Padang Midin telah menampung pelajar-pelajar dati tingkatan satu hingga tingkatan lima. Apabila berbicara tentang Sekolah Menengah Padang Midin seharusnya tarikh 28 September 1965 tidak dapat dilupakan kerana pada hari tersebut sekolah ini telah dibuka dengan rasminya oleh Yang Berhormat Encik mohd Khir bin Johari, Menteri Pelajaran Malaysia.

Pada tahun 1965, bagi menampung bilangan pelajar yang semakin bertambah maka dua buah bangunan lagi telah dibina dan sebuah Asrama Lelaki telah dibuka. Tahun 1968 menjadi tahun paling bersejarah kerana pada tahun ini Tingkatan Enam Aliran Melayu yang pertama di negeri Terengganu telah bermula di Sekolah Menengah Padang Midin. Pada tahun 1971, sebuah Asrama Perempuan pula telah dibuka.

Bermula Januari 1998 Sekolah Menengah Padang Midin dikenali sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin. Setelah berpuluh-puluh tahun beroperasi, pelbagai bangunan tambahan dan binaan baru dibina termasuk taman-taman dan kolam-kolam bagi menambahkan lagi keserian dan keceriaan SMK Padang Midin sebagai sebuah institusi pendidikan yang gemilang. Pada tahun 2003 SMK Padang Midin telah di nobatkan sebagai Johan Anugerah Kualiti Menteri Pendidikan.






No comments:

Post a Comment